KRT perlu bergerak lebih aktif

MASJID TANAH 27 Feb. – Kawasan rukun tetangga (KRT) perlu bergerak aktif sebagai pemangkin dalam perpaduan kaum yang menjadi platform kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, perkara tersebut selari dengan kehendak kerajaan seperti mana digariskan di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu mendokong keutuhan institusi keluarga dan kejiranan.
Katanya, KRT disertai oleh pelbagai kaum, malah ia juga merupakan sebuah pusat melibatkan pelbagai aktiviti masyarakat.
“Kebiasaannya, antara program yang dijalankan termasuk kebajikan, sukan, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, ekonomi dan lain-lain dijalankan secara sukarela tanpa bayaran atau imbuhan.
“Di Melaka terdapat 243 KRT ditubuhkan dan secara purata sebanyak 2, 000 aktiviti masyarakat yang dijalankan pada peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina sempena Sambutan Minggu Keharmonian di antara Penganut Agama Sedunia peringkat negeri Melaka 2019 di Dewan Paya Mengkuang di sini, malam tadi.
Lanjutan itu, Moorthy turut mengulas kerajaan perlu menyemak semula pemberian geran tahunan KRT dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan sedia ada.
“Faktor kewangan di kementerian perlu dipertimbang terlebih dahulu sebelum menyemak semula kadar geran tahunan yang akan diberikan kepada organisasi itu,” katanya.