KUBMB hasilkan produk sejuk beku ayam kampung organik

KUBMB hasilkan produk sejuk beku ayam kampung organik

SYED Luqman bersama Norhizam selepas mandapatkan khidmat nasihat mengenai tujuan pengkomersilan dan pemasaran.

BANDARAYA MELAKA 29 Okt. – Permintaan terhadap ayam kampung organik yang terbukti punyai isi lebih padat, sihat dan lebih rendah lemak berbanding ayam konvensional menyebabkan pasaran unggas tersebut semakin mendapat perhatian.

Justeru, Koperasi Usahawan Belia Melaka Berhad (KUBMB) memulakan langkah meningkatkan pengeluaran ayam kampung organik, sekali gus mencapai dan mengekalkan mutu piawaian yang tinggi bagi memenuhi pasaran tempatan.

Pengerusi KUBMB, Dr. Syed Luqman Hakim berkata, koperasi usahawan belia itu juga kini berperanan pengedar selain memiliki kandang ternakan dan pusat sembelihan halal yang disahkan serta kilang pemprosesan menggunakan teknologi tinggi.

“KUBMB mempunyai kapasiti pengeluaran 10,000 ekor ayam dalam tempoh sebulan dan punyai kepakaran menternak ayam kampung secara tradisional dan organik.

“Ianya mengambil masa lebih lama iaitu lebih dari 90 hari bagi ayam mencapai ukuran optimumnya, tanpa perian antibiotik dan hormon pertumbuhan.

“Kami percaya proses tumbesaran dan pemakanan lebih baik serta pergerakan yang aktif akan membuatkan ayam kampung lebih berkualiti dan enak,” katanya.

Menurutnya, antara keistimewaan ayam kampung organik ialah tidak dicucuk sebarang bahan terlarang yang mampu membawa penyakit

Selain menggunakan bekalan air bersih tanpa klorin kerana klorin mampu merencatkan tumbesaran anak ayam.

“Ayam kampung organik berbeza dari segi rasa dan khasiat berbanding ayam biasa kerana makanan haiwan ini adalah dari sumber organik tanpa bahan kimia.

“KUBMB kini dalam usaha menghasilkan benih anak ayam sendiri tanpa perlu mendapatkannya dari pembekal.

“Pada masa sama, anak ayam ini perlu diberikan sumber makanan tambahan yang cukup bagi mengelakkan penyakit hawar ayam, kulat dan cacing perut ayam.

“Usaha secara biologi digunakan untuk menghalang pembiakan bakteria dan menguatkan sistem imun ayam berkenaan,” katanya yang menggunakan empat reban ayam sistematik secara giliran dan mampu memberikan pulangan kira-kira RM15,000 dalam tempoh dua bulan.

Ujarnya, anak ayam perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi mengelakkan insiden ‘panik,’ hingga menyebabkan haiwan itu mula pijak-memijak antara satu sama lain yang mengakibatkan kematian.

Justeru itu, haiwan terbabit perlu ‘ditenangkan’ dengan pencahayaan lampu bagi memastikan ia kekal panas seperti suhu ketika bersama ibunya.

Katanya, ayam kampung organik ini adalah unik dan mewakili kualiti paling tinggi bagi ternakan dalam pasaran organik apabila makanan bagi ayam diformulasi khas menggunakan formula istimewa.

“Penghasilan produk sejuk beku berasaskan ayam kampung membolehkan saya mengawal kos pemakanan di reban kerana semakin lambat disembelih, keperluan makanan semakin meningkat.

“Dalam usaha memastikan keberkesanan kos pemakanan, semua ayam kampung ini diberi makanan berasaskan Mikroorganisme Berkesan (EM).

“Ianya dikenali sebagai bokashi iaitu campuran dedak padi dengan EM diperam dalam tong plastik selama dua minggu, sebelum diberikan kepada ayam dan diproses menggunakan prosedur ketat,” katanya yang pernah bergelar doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan sebelum menceburkan diri dalam dalam sektor keusahawanan.

Syed Luqman ditemui MelakaKini selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee di pejabat exco tersebut, Jumaat lalu.

Menurut Syed Luqman lagi, ayam kampung organik mengambil dua kali ganda masa untuk mencapai berat pasaran iaitu kira-kira 90 hari.

Ini kerana ayam-ayam tersebut tidak menukar makanan dan menjadi otot dengan begitu cepat jika dibandingkan dengan ayam komersial biasa.

“Ia mengandungi enzim bromelain semula jadi hanya boleh didapati dari nanas MD2 yang turut mengandungi vitamin C dan B1, kalium, mangan dan fitonutrien.

“Ianya membantu kelancaran proses penghadaman ayam yang diternak, seterusnya mengurangkan masalah bau busuk dan lalat yang berpunca dari tinja ayam yang dihasilkan.

“Kadar penyerapan nutrien yang tinggi dari yang diberi, membuatkan ayam cepat kenyang dan meningkatkan daya tahan setiap ayam kampung terhadap penyakit berkaitan unggas dan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

“Paling menarik, pembungkusan ayam yang sudah disembelih menggunakan teknologi membolehkan KUBNM menghasilkan produk sejuk beku yang mampu bertahan sehingga dua tahun.

“Ia membolehkan koperasi membekalkan ayam kampung organik yang bebas dari sisa antibiotik, hormon pertumbuhan dan mampu berdaya saing dengan ayam yang dipelihara secara konvensional,” kata graduan Fakulti Perubatan Universiti Al-Azhar ini lagi.

CATEGORIES
TAGS