Kuil dipindahkan bagi atasi masalah air

AYER KEROH 1 Feb. – Kerajaan negeri memberi tempoh akhir sebulan terhadap pihak kuil di Machap Umboo bermula 30 Januari ini untuk memberi laluan kepada projek pembinaan tangki air di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ginie Lim Siew Lin berkata, pemindahan kuil itu terpaksa dilakukan bagi menyelesaikan masalah tekanan air rendah dan bekalan air bersih di kawasan itu yang telah berlarutan sejak tiga tahun lalu.
Beliau yang juga Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, perbincangan bersama pihak kuil telah dilakukan dan mereka bersetuju untuk berpindah ke tapak alternatif yang terletak hanya kira-kira tiga hingga empat kilometer dari tapak asal.
“Sebelum itu kami telah memberikan pihak kuil tempoh tiga bulan untuk berpindah sejak Oktober tahun lalu sebelum melanjutkan sebulan lagi dan telah mengarahkan segala kegiatan di lokasi kuil itu dihentikan.
“Kawasan itu dipilih kerana ia merupakan tanah simpan milik kerajaan negeri dan rumah ibadat yang dibina turut didapati tidak mendapat kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berhubung perkara itu Seri Negeri, sebentar tadi.
Menurut Siew Lin, Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan hari ini akan berusaha mencari alternatif terbaik supaya segala masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan harmoni dan tidak mengguris hati mana-mana pihak.
“Di bawah PH, kita cuba berbincang dan cari alternatif terbaik dan kita ada garis panduan yang perlu diikuti.
“Perkara ini turut dikendalikan bersama Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, G. Saminathan supaya tiada salah faham timbul dan menghapuskan persepsi negatif yang mungkin timbul terhadap cara kerajaan negeri menangani isu permindahan kuil ini,” katanya.