KUIM lancar E-Buletin Jumaat

KUALA SUNGAI BARU 20 Feb. – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) melancarkan E-Buletin Jumaat bagi memperkasa dan memperluaskan syiar Islam kepada masyarakat.
Naib Canselor KUIM, Prof Dr. Radzai Said berkata, E-Buletin Jumaat itu boleh dicapai secara maya menerusi www.kuim.edu.my atau melalui facebook rasmi KUIM iaitu KUIM Melaka Official.
Katanya, ia mengandungi kupasan isu semasa mengenai sejarah-sejarah Islam dan penerangan mengenai manfaat menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W.
“Dengan adanya E-Buletin Jumaat ini, kita memperolehi maklumat secara terperinci dan lebih mudah disampaikan kepada barisan kakitangan dan pelajar.
“Turut dipaparkan, maklumat dalam bentuk infografik yang ringkas dan tepat, selain mudah untuk difahami,” katanya selepas melancarkan E-Buletin Jumaat dalam talian sesawang KUIM di Masjid Al-Ilmu, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat, Timbalan Naib Canselor Pengurusan Korporat, Zamzuri Abdul Majid, Ketua Pusat Islam As-Syafie, Zulkefli Abu Bakar dan lain-lain.
Tambah Radzai, inisiatif itu bagi memastikan seluruh warga KUIM menghayati keindahan Islam yang syumul dan istiqamah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
“Diharap usaha ini menjadi pemangkin buat kita semua untuk terus menjadikan agama Islam sebagai pegangan hidup dan berpaksikan kepada kebenaran.
“E-Buletin Jumaat secara tidak langsung menggalakkan minat membaca dalam kalangan kakitangan dan pelajar, selain menerapkan ilmu nasihat yang memberi manfaat buat semua,” katanya.