KUIM perlu tingkat daya saing universiti

KUALA SUNGAI BARU 28 Feb. – Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) disaran mengamalkan budaya kerja yang efektif bagi melancarkan urusan pentadbiran kolejnya.
Naib Canselor KUIM, Prof. Dr. Md Radzai Said berkata, ia sekali gus mengharumkan nama KUIM ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, warga KUIM perlu mengamalkan nilai kesatuan yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan warga KUIM yang holistik.
“Konsep ini penting bagi memastikan kemampanan dan kelestarian sistem pengoperasian universiti mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pelan Strategik KUIM 2019-2021 melalui kecemerlangan perkhidmatan personel dan pusat tanggungjawab.
“Ia mampu membentuk sebuah gagasan universiti secara menyeluruh dalam usaha merealisasikan agenda KUIM sebagai sebuah institut pendidikan tinggi (IPT) Islam di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Naib Canselor 2019 di Auditorium Ibn Khaldun, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat; Timbalan Naib Canselor Pengurusan Korporat, Zamzuri Abdul Majid dan lain-lain kenamaan.
Katanya, bagi mengangkat KUIM ke peringkat lebih gemilang, kualiti dan mutu perkhidmatan dari semua kakitangan memainkan peranan yang penting.
“Ini dapat menjadikan sesuatu urusan perkhidmatan berjalan dengan lancar.
“Aspek tersebut jadi kayu pengukur bagi memastikan KUIM terus cemerlang,” katanya.