Kutipan zakat Melaka meningkat 2.59 peratus tahun lalu

BANDAR HILIR 5 Mac – Kutipan Zakat Melaka (ZM) meningkat sebanyak 2.59 peratus iaitu RM87.8 juta sepanjang tahun lalu berbanding tempoh yang sama sebanyak RM85.5 juta pada 2017.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.21 juta dengan bilangan pembayar seramai 44,129 orang berbanding 41,477 pada 2017 iaitu peningkatan seramai 2,652 orang atau 6.39 peratus.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, dari jumlah itu, zakat harta secara keseluruhan adalah sejumlah RM83.8 juta, iaitu meningkat sebanyak RM2.13 juta berbanding tempoh yang sama pada 2017 iaitu RM81.7 juta.
“Zakat Pendapatan adalah penyumbang utama kutipan zakat pada 2018 iaitu RM51.8 juta atau 61.8 peratus.
“Manakala zakat kutipan zakat terendah pula adalah Zakat Pertanian iaitu RM27,141 atau 0.03 peratus,” jelasnya semasa berucap sempena Majlis Anugerah Khas Zakat Bagi Majikan Sektor Awam & Swasta 2018 di Hotel Holiday Inn di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ZM, Abdul Halim Ismail.
Adly yang juga Pengerusi MAIM memberitahu, sehingga 31 Disember 2018, MAIM telah mengagihkan zakat berjumlah RM86.9 juta berbanding tempoh yang sama pada 2017 iaitu RM80.5 juta dengan peningkatan sebanyak RM6.3 juta atau 7.92 peratus.
“Asnaf miskin merupakan perbelanjaan tertinggi iaitu sejumlah RM31.1 atau 35.83 peratus manakala perbelanjaan terendah pula adalah daripada asnaf ibnu sabil berjumlah RM87,515 atau 0.10 peratus,” katanya.