Laksana garis panduan penempatan pekerja asing

Laksana garis panduan penempatan pekerja asing

AYER KEROH 18 Mac – Kerajaan negeri akan merangka satu garis panduan bagi menempatkan pekerja asing di seluruh negeri sekali gus mampu memberi keselesaan kepada rakyat.

Exco Industrian, Pelaburan dan Perdagangan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, beliau yakin sekiranya garis panduan tersebut dilaksanakan ia mampu memberi satu proses penempatan yang lebih sistematik, teratur malah tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat sekitar.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mengenakan sebarang syarat sebelum ini bagi penempatan pekerja asing untuk ditempatkan di kawasan yang dikhaskan.

“Kerajaan negeri menggalakkan pemain industri, pengilang mahupun pelabur di negeri ini untuk menempatkan satu penempatan khas buat warga asing supaya penempatan mereka ini diasingkan dari penempatan awam.

“Malah, sekiranya penempatan tidak terkawal dan berlakunya kegiatan jenayah yang mengancam keselamatan penduduk, kerajaan akan laksanakan langkah pencegahan lain termasuk mekanisme mengadakan rundingan bersama pengusaha agar perkara ini tidak akan berlaku.

“Kita akan buka satu lokasi berkelompok agar mereka ini ditempatkan di kawasan yang berpusat malah, sekurang-kurangnya usaha ini akan mendatangkan keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan sesi pertama di Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

Dalam perkembangan lain Mohd Rafiq berkata, kerajaan negeri telah membina asrama dan penempatan pekerja asing melibatkan beberapa kawasan perindustrian melibatkan beberapa daerah di negeri ini.

“Sebanyak 5,224 pekerja asing boleh dimuatkan melalui asrama dan penempatan direkodkan bagi nilai keseluruhan penempatan pekerja asing di dalam Melaka,” katanya.

CATEGORIES