Lantik syarikat konsultan kenal pasti kawasan punca air bawah tanah

Teruskan usaha YB untuk bantu rakyat

Lantik syarikat konsultan kenal pasti kawasan punca air bawah tanah

PAYA RUMPUT 19 Feb – Kerajaan negeri sedang melantik syarikat konsultan bagi mengenal pasti lokasi punca air bagi menyalurkan bekalan air kepada kawasan pertanian.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, masalah air yang melanda negeri ini turut memberi kesan kepada aktiviti pertanian terutama golongan petani dan nelayan.

Setakat ini, pihaknya telah berbincang dengan syarikat konsultan bagi mengenal pasti kawasan punca air sebelum disalurkan kepada kawasan pertanian.

“Kita melantik satu syarikat konsultan untuk kenal pasti kawasan mana yang ada air untuk dikorek dan apabila air itu sudah ada dengan kuantiti yang banyak, baru saya beri kelulusan kontrak.

“Sebab kita tidak ada jalan penyelesaian lain lagi buat masa ini, tiada hujan,” katanya kepada MelakaKini selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Piala YB Viral di Dewan Paya Rumput Perdana.

Norhizam berkata, antara kawasan pertanian yang mengalami kesan daripada masalah air itu ialah di Kampung Gelam, Bukit Rambai.

“Saya sendiri akan turun padang dan cuba selesaikan masalah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM10 juta bagi mendapatkan bantuan untuk diberi kepada golongan petani, nelayan dan penternak.

Peruntukan itu katanya, bagi membolehkan MOA memberi bantuan 10 ekor anak kambing dan lima ekor lembu kepada tiga golongan berkenaan.

“Maknanya siapa yang bertani, yang pergi ke laut, mereka akan diberi bantuan lembu dan anak kambing ini supaya mereka ada pendapatan sampingan,” katanya.

CATEGORIES