Lantikan Mahani berdasarkan kelayakan – Adly

AYER KEROH 20 Feb. – Perlantikan Timbalan Pengerusi Zakat Melaka (ZM) Mahani Othman Basir berdasarkan merit dan kelayakan dan bukannya berdasarkan latar belakang kekeluargaan,” jelas Ketua Menteri, Adly Zahari.
Menurutnya, Mahani terlebih dahulu dilantik memegang jawatan itu sebelum suami beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Jelasnya, perlantikan Mahani tidak wajar dimanipulasikan dan perlantikan itu juga memperlihatkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu pembabitan 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar.
“Beliau (Mahani) sebenarnya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ZM berdasarkan kepada kemampuan kepimpinan selain latar belakang pendidikan beliau.
“Memang beliau seorang yang berwibawa, dari segi kemampuan dan keupayaan memimpin itu agak baik. Sebab bagi kita, bukanlah satu benda yang mudah untuk mencari tokoh-tokoh wanita yang boleh jadi pembuat dasar dalam ‘board of director’.
“Kebanyakannya lelaki apatah lagi apabila ia melibatkan institusi agama, jadi saya rasa itu adalah pengiktirafan kepada wanita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Program Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan di Auditorium Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) di sini, hari ini.
Sebelum ini, di laman portal milik PAS, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin secara khusus mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita Amanah Melaka, Mahani sebagai Timbalan Pengerusi ZM sedangkan suaminya Mohd Sofi adalah Timbalan Pengerusi MAIM yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka.
Menjelaskan dakwaan itu, Adly yang juga Pengerusi MAIM berkata, pelantikan Mahani pada Julai tahun lalu bukan atas hubungan kekeluargaan, sebaliknya beliau memenuhi kriteria ditetapkan bagi menggalas tugas berkenaan dan lantikan langsung tidak membabitkan Mohd Sofi.
“Kita lantik dia berdasarkan merit yang ada iaitu Mahani ada pendidikan ijazah dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di samping mempunyai kemampuan kepimpinan yang baik.
“Jadi saya rasa isu ini tidak berbangkit kerana polisi kita adalah jelas, kita pastikan bahawa mereka yang membuat keputusan itu tidak melibatkan ahli keluarga, contohnya dalam isu Zakat Melaka, yang membuat keputusan adalah saya, jadi saya rasa benda itu tidak brbangkit dalam struktur kita,” jelasnya.