Larangan merokok : 966 notis amaran dikeluarkan

Larangan merokok : 966 notis amaran dikeluarkan

BATU BERENDAM 22 Feb. – Sebanyak 966 notis amaran larangan merokok dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sempena Operasi Penguatkuasaan Pendidikan Kesihatan Premis Makanan (Larangan Merokok) bermula 1 Januari hingga 17 Februari lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 2,060 premis makanan di seluruh negeri telah diperiksa.

Pada masa yang sama jelasnya, sebanyak 12,894 risalah kesedaran dan pendidikan kesihatan turut diedarkan kepada individu dalam tempoh berkenaan.

“Setakat ini kami berpuas hati terhadap sokongan dan momentum positif yang ditunjukkan masyarakat mahupun pertubuhan bukan kerajaan terhadap larangan berkenaan yang bertujuan memastikan tempat-tempat makan di negeri ini bebas asap rokok.

“Operasi yang dilaksanakan ini bermatlamat untuk memastikan pengusaha-pengusaha premis makanan dan orang ramai memahami mematuhi peraturan baharu yang ditetapkan jabatan kesihatan,” tegasnya.

Chee Leong berkata demikian kepada media selepas mengadakan pemantauan pemasangan papan tanda larangan merokok di premis makanan di sekitar Melaka Baru, semalam.

Jelasnya, hasil tinjauan yang dilakukan, masih terdapat premis-premis makanan yang tidak mempamerkan papan tanda atau poster larangan merokok.

“Ini sejajar dengan arahan kerajaan persekutuan yang telah mewartakan semua premis makanan di seluruh negara sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari 2019, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

“Kerjasama mereka yang merokok juga diperlukan supaya mematuhi peraturan ini bagi melindungi orang awam terutamanya kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua dari terdedah kepada bahaya asap rokok.

“Saya sendiri menyediakan 100 papan tanda larangan merokok ini secara percuma untuk diedarkan kepada pengusaha premis makanan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS