Larangan penggunaan bungkusan makanan polisterin diperketatkan semula – Adly

BUKIT BARU 12 Feb. – Kerajaan negeri memandang serius trend penggunaan semula polisterin untuk membungkus makanan oleh peniaga-peniaga di Melaka, sejak akhir-akhir ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu perlu dibendung yang mana pihaknya melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menguatkuasakan semula larangan berkenaan dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Kita melihat ada trend di kalangan peniaga menggunakan polisterin untuk membungkus makanan, terutama di kalangan peniaga-peniaga baharu.
“Jadi, kita akan perketatkan lagi penguatkuasaan itu di peringkat PBT dan berharap masyarakat ambil maklum terhadap larangan ini dan mencari opsyen-opsyen lain untuk membungkus makanan.
“Pada masa sama, kita juga akan memantau semua pihak, termasuk pengeluar dan penjual polisterin tersebut,” katanya di sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru, sebentar tadi.