Larilah kalau nak senarai hitam…

Larilah kalau nak senarai hitam…

BUKIT KATIL 14 Feb. – Pengguna jalan raya dinasihati agar tidak lari dari sekatan jalan raya jika tidak mahu nama mereka disenarai hitam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, tindakan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang sengaja mengelak dari sekatan jalan raya turut dirakam anggota JPJ dalam operasi dijalankan.

“Bagaimanapun, jika didapati bersalah, mereka akan diberikan notis sebelum tindakan senarai hitam dikenakan mengikut Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Selepas pemilik kenderaan dikenal pasti, Notis 114 akan dikeluarkan dalam tempoh 21 hari.

“Jika mereka gagal hadir untuk temu siasat barulah kompaun RM150 dikenakan dan disenarai hitam dari memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu,” katanya pada sidang media selepas program penutup operasi sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2019 di Pejabat JPJ negeri, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohammad Afdhal Mohd Ruslan dan wakil pegawai Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Superintendan Shaharizan Shahaman.

Jelas Muhammad Firdaus, tindakan mereka terutama penunggang motosikal boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Saya hairan kenapa ada penunggang yang lari dari sekatan jalan raya walaupun mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Tidak perlu takut kerana kami hanya menjalankan pemeriksaan sahaja,” katanya.

CATEGORIES