Lebih 1,000 peserta hangatkan Melaka Royale Futsal 2019

BATU BERENDAM 20 Jan. – Lebih 1,000 peserta futsal melibatkan 192 pasukan seluruh negara menguji kekuatan untuk merangkul gelaran juara bagi Kejohanan Melaka Royale Futsal 2019 di Kompleks Sukan Batu Berendam, sebentar tadi.
Kejohanan julung kali diadakan itu turut dihadiri Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee dan Exco Pelancongan, Warisan & Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Menurut Chee Yee, kehadiran jumlah peserta yang itu sekali gus menjadikan ia antara kejohanan sukan terbesar di Melaka.
“Kesemua peserta yang hadir menyumbang kepada sasaran 20 juta pelancong ke negeri ini menerusi kempenTahun Melawat Melaka (TMM) 2019 menerusi sektor pelancongan sukan.
“Apabila ada peserta dari luar datang menyertai, mereka menyumbang kepada ekonomi dan berharap kejohanan ini dilaksanakan tahun depan,” katanya.
Chee Yee berkata, bagi memastikan kejohanan seumpama itu dilaksanakan, beliau akan membimbing kelab-kelab belia di negeri ini bagi memastikan penyertaan yang lebih ramai.
“Sebagai Exco Sukan, saya akan cuba bantu bimbing kelab belia supaya lebih banyak pasukan dapat menyertai pada masa depan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah kejohanan itu, Haidzir Hashim.