Lebih 300 sertai Gotong Royong Perdana Kampung Bukit Punggur


MASYARAKAT Bukit Punggur bersama-sama mengecat surau di Program Gotong-Royong Perdana.
TELOK MAS 13 Okt – Lebih 300 sertai Gotong-Royong Perdana Kampung Bukit Punggur dan Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas di sini, hari ini.
Program ini dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Punggur bersama Belia Seri Punggur dan Surau Bukit Punggor.
Program yang julung kali diadakan itu bermula jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam 3 petang turut di hadiri ADUN Telok Mas Noor Effandi Ahmad.
Turut serta Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun)Telok Mas, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM).

MOHD Saleh
Pengerusi MPKK Bukit Punggor, Mohd Saleh Adris berkata, aktiviti gotong-royong melibatkan masyarakat setempat itu merupakan sebahagian daripada usaha bagi menceriakan kawasan Bukit Punggor.
“Menerusi program ini, kita juga dapat mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat setempat yang dapat bersua muka.
“Aktiviti seperti ini yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui MelakaKini.
Sementara itu, Pengerusi Surau Bukit Punggor, Oyub Abd Samad berkata, selain membersihkan persekitaran kampung para peserta juga membaik pulih surau Bukit Punggur antaranya mencuci dan mengecat semula surau.
“Gotong-royong itu adalah usaha yang baik bagi memastikan surau rersebut sentiasa bersih.

EFFANDI turut sama membantu di program itu.
Katanya, pihaknya akan terus memberikan sokongan terhadap program seperti itu agar kawasan surau Bukit Punggur sentiasa terurus dan selesa untuk umat Islam gunakan, ujarnya.
Setiausaha MPKK, Shamsul Hezri Mohd Nor, berkata, budaya gotong-royong perlu terus disuburkan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda bagi memastikan warisan budaya itu tidak luput ditelan zaman.
“Aktiviti tersebut mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk perpaduan.
Budaya yang baik ini perlu dipertahankan bagi memastikan golongan muda akan mewarisi perkara tersebut,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup bermandi peluh untuk membersihkan kawasan ini.