Lebih RM549 juta hartanah tidak terjual di Melaka

Lebih RM549 juta hartanah tidak terjual di Melaka

ANTARA pempamer pemaju perumahan yang terlibat.

BANDARAYA MELAKA 26 Okt. – Sejumlah RM549.15 juta nilai hartanah masih tidak terjual di negeri ini mengikut laporan suku tahun pertama 2018.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu, ia melibatkan 697 unit hartanah kediaman, 645 unit hartanah komersial dan 28 unit hartanah industri.

Menurutnya, di Daerah Melaka Tengah, sebanyak 1,023 unit, Alor Gajah (224) unit dan Jasin sebanyak 123 unit.

“Kita harap dengan adanya ekspo perumahan ini, unit tanah yang tidak terjual dapat disebar luas kepada kaum Bumiputera.

“Ekspo ini sekali gus dapat memenuhi impian dan hasrat golongan Bumiputera miliki hartanah kediaman dan komersial di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Khas Untuk Bumiputera Ke 2, 2018 di Pasar Raya Aeon Bandaraya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan ADUN Klebang, Gue Teck.

Adly memberitahu, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa peratus pemilikan rumah di Melaka sebanyak 84.4 peratus.

“Peratusan ini lebih tinggi dari peratusan pemilikan rumah di peringkat nasional iaitu sebanyak 76.1 peratus.

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan agenda pembangunan perumahan bagi menyediakan rumah mampu dimiliki penduduk di negeri ini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka, Datuk Seri Ngoh King Hua dan lain-lain kenamaan.

CATEGORIES