Lelaki cedera selepas lori muatan nitrogen cecair terbalik

BATU BERENDAM 12 Feb – Seorang lelaki cedera selepas lori dipandu terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Taman Merdeka berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini.
Mangsa berusia 38 tahun itu mengalami kecederaan ringan di kepala dan bahagian tangan kanan.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.30 tengah hari sebelum menggerakkan seramai 19 anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati lori yang membawa muatan 14,000 liter nitrogen cecair terbalik.
“Berikutan itu, anggota bomba mendapati seorang lelaki mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Melaka dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba ,” katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan pada kenderaan berat itu, bagaimanapun tidak mengalami kebocoran dan pasukan hazmat bomba bertindak mengawal keadaan sekeliling dengan memeriksa suhu dan tekanan lori terbabit.
“Selain itu, kita buat semburan foam untuk keselamatan ketika operasi bagi mengelakkan nyalaan.
“Operasi pembersihan jalan dan pengamasih giat dijalankan,” katanya.