Lelaki ditahan positif dadah

JASIN 8 Mac – Seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jasin di Kampung Gubah Nyaslas, di sini, malam kelmarin.
Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Jasin, Mohd Norzie Ab. Rahman berkata, serbuan di rumah suspek dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kes terbabit.
Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan, suspek didapati positif dadah jenis opiat.
“Suspek masih ditahan pihak AADK Jasin untuk siasatan dan tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) APD(R&P)1983,” katanya kepada MelakaKini.
Sementara itu, Mohd Norzie, mengalu-alukan aduan orang awam yang mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Aduan dari komuniti setempat sangat membantu pihak AADK mendapatkan maklumat mengenai kes-kes berkaitan dadah,” katanya.