Lelaki gian pakaian dalam wanita kantoi

Hrmmm....

Lelaki gian pakaian dalam wanita kantoi

ALOR GAJAH 20 Feb. – Tindakan seorang lelaki yang ‘gian’ mencuri pakaian dalam wanita akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Kelemak, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 51 tahun berkenaan yang masih bujang ditahan polis kira-kira jam 9.30 malam oleh pasukan polis selepas menerima laporan berhubung kegiatan tidak senonohnya itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan suspek itu terbongkar selepas berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa Selasa lalu.

Beliau berkata, mangsa yang juga surirumah berusia 31 tahun kerap kehilangan pakaian dalam sejak November tahun lalu.

“Pada hari kejadian wanita berkenaan yang ingin membasuh baju di belakang rumah kira-kira jam 7.40 pagi mendapati beberapa helai pakaian dalamnya serta milik anaknya telah hilang.

“Dia yang kemudian memeriksa rakaman CCTV kemudian mendapati terdapat seorang lelaki selongkar mesin basuhnya dan mengambil pakaian terbabit,” katanya.

Arshad berkata, suspek memasuki pekarangan rumah mangsa melalui pagar belakang dan kejadian sama turut berlaku pada awal bulan ini.

“Hasil serbuan di rumah suspek, puluhan pakaian dalam wanita dirampas termasuk milik mangsa yang dilaporkan hilang.

“Suspek juga didapati memasukkan pakaian yang dicuri ke dalam bantal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes pecah rumah serta ugutan jenayah.

“Malah semakan juga mendapati suspek sebelum ini pernah ditangkap dua kali membabitkan kes liwat di daerah Gombak, Selangor.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah dipercayai Methamphetamine ketika ditahan selain kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

CATEGORIES