Lelaki Indonesia lari tahanan depot diburu

Lelaki Indonesia lari tahanan depot diburu

SUSPEK Muhammad Reza Pahlevi diburu polis.

ALOR GAJAH 28 Feb. – Seorang lelaki warga Indonesia yang melarikan diri dari tahanan Depot Imigresen Machap Umboo di sini, semalam kini dalam buruan pihak berkuasa.

Suspek, Muhammad Reza Pahlevi melarikan diri sekitar jam 9.30 pagi hingga 10.25 pagi itu ditempatkan di depot terbabit untuk tujuan perintah pengusiran.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A Asmadi Abdul Aziz berkata, kehilangan suspek telah dilaporkan pegawai kanan Jabatan Imigresen kira-kira jam 5.50 petang semalam, selepas suspek gagal ditemui.

“Suspek bimbang proses dokumentasi yang dijalankan mengesan beberapa kes melibatkan dirinya sebelum ini yang masih belum selesai.

“Dia kemudian buat-buat sakit dan mengadu sesak nafas sebelum diasingkan ke unit rawatan dan kesihatan bagi memudahkan pegawai perubatan memeriksanya,” katanya.

Kata A Asmadi, suspek bagaimanapun didapati tidak mengalami masalah kesihatan dan diserahkan kepada pegawai kanan Imigresen semula.

“Tidak lama selepas itu, pegawai wanita mula menjerit mengatakan suspek melarikan diri dari tahanan dan pemeriksaan dalam bilik serah terima mendapati suspek sudah tiada.

“Suspek meloloskan diri melalui tingkap kecil di bahagian bilik rawatan dan kesihatan. Dia dipercayai memanjat meja dan keluar melalui lubang angin bilik tersebut.

“Dia meloloskan diri dengan tangan tidak bergari dan lari ke arah kebun kelapa sawit,” katanya suspek berbaju putih dan berseluar pendek.

Jelasnya, suspek sepatutnya dihantar ke IPD Seri Alam, Johor untuk berdepan pertuduhan di mahkamah bagi kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama.

“Dia juga didapati punyai rekod samun hotel bajet menggunakan parang selain membabitkan kes positif dadah, dipercayai mahu menuju ke Muar atau Pasir Gudang.

“Sebaik keluar dari depot tahanan, suspek dipercayai menahan kereta awam sebuah Perodua Kancil sebelum berhenti di satu lokasi lain dan menahan teksi untuk menghantarnya ke Muar atau Pasir Gudang.

“Namun, pemandu teksi meragui suspek tiada wang dan hanya menghantarnya ke hentian bas Melaka Sentral,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

CATEGORIES