Lelaki sesat di Bukit Beruang

Syukur semuanya selamat

Lelaki sesat di Bukit Beruang

AYER KEROH 6 Feb. – Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan selepas dia tidak menemui laluan turun selepas melakukan aktiviti riadah di sebuah bukit di Bukit Beruang, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.17 pagi sebelum lima anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa berusia 31 tahun itu yang mendaki seorang diri gagal menemui laluan turun menyebabkan dia berpusing di tempat sama.

“Ketika menghubunginya bagi mengetahui lokasi dia berada, lelaki berkenaan memberitahu dia melalui laluan sama sebanyak tiga kali.

“Dia bagaimanapun kemudian dibantu keluar oleh dua pendaki lain yang menemuinya sebelum bertembung dengan pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Menurut beliau, lelaki berkenaan yang kepenatan ditemui dalam keadaan selamat sebelum dibawa turun dari Bukit Beruang.

CATEGORIES