‘Let’s Deco 2.0 Beauty Galore’ tonjol kreativiti pelajar

‘Let’s Deco 2.0 Beauty Galore’ tonjol kreativiti  pelajar

PULAU SEBANG 3 Okt. – Pertandingan Kemahiran Terbuka Peringkat Kebangsaan 2018 Let’s Deco 2.0 Beauty Galore & Jualan Keusahawanan Siswa Kolej Komuniti 2018 berjaya menyingkap pelbagai sisi positif pelajar yang menyertai program tersebut di Pasar Raya Mydin Pualu Sebang, Sabtu lalu.

Program itu anjuran Bahagian Ambilan & Pengambilan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti dikelolakan Kolej Komuniti Tampin.

Ianya mengetengahkan beberapa cabang seni kecantikan dalam program tersebut seperti lukisan wajah, ukiran inai, teknik mekap kesan khas, ukiran kuku dan tatarias pengantin.

Pengerusi Pertandingan Kemahiran Terbuka Lets Deco 2.0, Ramlee Yahya berkata, ia merupakan sebuah program bukan sahaja untuk menyediakan platform dan peluang kepada peserta menunjukkan bakat dan kemahiran.

Tetapi, ia juga merupakan salah satu medium penting dalam membantu mempromosikan Kolej Komuniti sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan komuniti setempat.

Katanya, pihak kerajaan komited dalam usaha melahirkan rakyat Malaysia khususnya para pelajar yang berinovatif dan kreatif melalui pelbagai aktiviti pertandingan di peringkat nasional mahupun antarabangsa terutamanya melalui pusat-pusat pendidikan tinggi seluruh negara.

“Penyertaan pertandingan ini terbuka kepada pelajar-pelajar Kolej Komuniti Malaysia, pelajar-pelajar Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Vokasional, industri-industri Bridal, pelajar sekolah menengah dan orang perseorangan.

“Selain itu dalam program ini turut diadakan jualan Keusahawanan Siswa Kolej Komuniti 2018 dikelolakan Kolej Komuniti Bukit Beruang di mana gerai jualan ini melibatkan 11 Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya yang juga Pengarah Kolej Komuniti Tampin.

Hadir sama, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Rashidah Mustafa dan Pengarah Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Wan Mohamad Nasir Abdul Rahman.

CATEGORIES