Liputan selular meningkat di lebih 55 kawasan di Melaka

Liputan selular meningkat di lebih 55 kawasan di Melaka

Kenyataan media Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee

 

LIPUTAN selular meningkat di lebih 55 Kawasan di Melaka sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran 8 bulan lalu – dua kali ganda dari pencapaian Barisan Nasional dalam tempoh setahun.

Permintaan tinggi terhadap jaringan selular terus meningkat bukan sahaja disebabkan oleh pertambahan kawasan kediaman baru, tetapi juga disebabkan oleh peningkatan dalam pergerakan dan penggunaan data  setiap pengguna. Malah kita dapat melihat bahawa dengan harga yang sama seperti 5 tahun lalu, pakej telekomunikasi kini menawarkan kuota
data bulanan lebih tinggi kepada pelanggan mereka.

Apabila terdapat permintaan, secara semula jadi pembangunan infrastruktur telekomunikasi (telco infra) perlu dilakukan. Permintaan boleh dikategorikan melalui tiga perkara berikut:

i) Permintaan tempatan (aduan) daripada penduduk;

ii) Kerajaan menentukan tempat yang memerlukan jaringan yang lebih baik, meskipun terdapat permintaan atau aduan yang tidak mencukupi daripada penduduk; dan

iii) Memperluas liputan sebagai sebahagian daripada strategi komersil oleh syarikat telekomunikasi.

 

Dalam kes di Melaka, apabila saya mula-mula mengambil alih portfolio komunikasi, saya terkejut sebaik mengetahui bahawa, secara purata kerajaan hanya membina purata 30 infra telekomunikasi setahun  dari 2015 hingga 2017, walaupun permintaan telah diteliti di lebih 100 tapak di seluruh negeri. Dari Januari hingga April 2018, hanya 6 infrastruktur telekomunikasi yang dibina.

Sejak itu, saya telah bekerja dengan beberapa agensi dan mengambil  langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah secara sistematik.  Pertama, pasukan tugas khas (Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Telekomunikasi) dibentuk untuk mengkaji proses kelulusan dalaman untuk infra telekomunikasi (menara telco) yang akan dibina.

Kebiasaannya, walaupun tidak ada masalah utama, sesebuah menara boleh mengambil masa antara 6 hingga 9 bulan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada semua agensi berkaitan sebelum pembinaan dan pemasangan boleh bermula. Dengan pasukan petugas khas kami yang menyelaraskan proses itu, kerajaan Melaka kini dapat meluluskan pembinaan menara
telekomunikasi dalam tempoh 3 hingga 4 bulan tanpa menimbulkan komplikasi berpanjangan.

Untuk lebih berkomunikasi dengan penduduk berhubung dengan risiko  yang berkaitan dengan kesihatan infra telco, saya juga telah bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia, yang ditugaskan untuk menilai tahap radiasi infra telco. Sebagai hasilnya, Melaka menjadi negeri pertama di negara ini untuk menamakan menara telekomunikasi dengan kod QR. Imbasan pada kod tersebut akan mendedahkan tahap radiasi seperti yang diperiksa oleh Agensi Nuklear Malaysia, serta permit yang diperoleh untuk membina struktur.

Saya juga mengumumkan pada Disember 2018 bahawa Kerajaan Negeri Melaka akan membenarkan mana-mana syarikat, yang berkemampuan, dimasukkan ke dalam senarai panel ‘Rakan Kongsi Pintar’ untuk membina menara telekomunikasi. Ini adalah untuk membolehkan persaingan yang sihat dan memastikan bahawa kita sentiasa dapat memilih kontraktor terbaik dalam perniagaan.

Pembaharuan yang disebutkan di atas telah membawa peningkatan drastik dalam pembangunan infra telekomunikasi di Melaka. Selepas PRU14, dari Mei 2018 hingga Disember 2018, kami telah berjaya membina 55 menara telekomunikasi mengikut permintaan. Ini bermakna peningkatan jaringan selular di 55 kawasan di Melaka. Jumlah ini hampir dua kali ganda jumlah yang dapat dicapai oleh Barisan Nasional dalam satu tahun. Saya juga mengumumkan bahawa Melaka bersedia membina 100
infrastruktur telekomunikasi pada 2019 mengikut senarai menunggu (bergantung kepada belanjawan syarikat telekomunikasi).

Hidup di era digital ini bermakna bahawa kita banyak bergantung pada sambungan selular untuk menjalankan aktiviti harian kita. Dengan melengkapi Melaka dengan infra telekomunikasi yang mencukupi, kami akan membuka jalan untuk teknologi yang lebih canggih di masa hadapan, seperti Internet Untuk Segalanya (IoT), Data Besar, Bandar Pintar, Sistem Cloud, Artificial Intelligence of Things (AIoT) dan 5G.

Borang aduan juga telah diedarkan ke pejabat Japerun di semua 28 daerah (DUN) di Melaka. Jika jaringan selular di kawasan anda kurang stabil, anda boleh melawat pejabat Japerun di DUN anda untuk mengisi dan menyerahkan borang.

CATEGORIES
TAGS