Loji Sungai Siput bakal bekal 9 juta liter air

Bukti kerajaan negeri terus berikhtiar menangani isu bekalan air

Loji Sungai Siput bakal bekal 9 juta liter air

DIN AHMAD

LUBOK CINA 12 Feb – Loji Sungai Siput bernilai RM11.5 juta yang bakal siap sepenuhnya hujung Mac depan mampu membekalkan sembilan juta liter air untuk kegunaan penduduk sekitar Lubok Cina dan Masjid Tanah.

Projek di Kampung Sungai Siput, di sini dimulakan pertengahan tahun lalu bagi memenuhi keperluan air penduduk terbabit yang ketika ini terpaksa menggunakan saluran paip dari Loji Gadek, kira-kira 24 kilometer (km) dari sini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menjelaskan, pembinaan loji berkenaan kini memasuki fasa akhir sebelum diperincikan pada awal bulan depan untuk dipastikan mampu beroperasi menjelang hujung Mac ini.

“Projek bernilai RM11.5 juta itu menggunakan teknologi pembersihan air dari Switzerland dan dicadang diterapkan dalam projek pembinaan Loji Sungai Duyong di Melaka Tengah tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas melawat projek berkenaan hari ini.

Beliau mengikuti taklimat mengenai projek itu yang disampaikan pihak pengurusan kontraktor utama projek berkenaan dari Puchong, Selangor.

Selain itu, Adly turut meninjau lokasi cadangan pembinaan Empangan Jerneh di Kampung Sungai Jerneh dan FELCRA Ramuan Cina Kecil.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan; Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Datuk Halim Bachik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Sementara itu, ketika meninjau sumber air Sungai Rembau di Jeti Nelayan Paya Lebar, di sini, Adly berkata kerajaan negeri akan memastikan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi dekat sini mempunyai bekalan air mencukupi.

Katanya, projek berkenaan memerlukan air yang banyak yang bakal diambil dari beberapa sungai seperti Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Sungai Linggi.

Selain itu, air dari Empangan Jerneh yang dijangka siap sebelum projek KLIP dilaksanakan, akan turut disalurkan ke pelabuhan itu, katanya.

“Kita sudah mulakan kajian mengenai kualiti air yang ada di sungai itu untuk dibekalkan ke projek KLIP,” katanya.

CATEGORIES
TAGS