LTAM bakal tambah laluan penerbangan

AYER KEROH 18 Jan.- Kerajaan Negeri Melaka akan menambah laluan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai usaha menjayakan Tahun Melawat Melaka 2019.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan usaha tersebut.
Katanya, beberapa laluan baru yang berpotensi untuk dibuka iaitu laluan Melaka-Langkawi dan Melaka-Bandar Seri Begawan, selain laluan sedia ada iaitu Melaka-Pulau Pinang serta Melaka-Pekan Baru yang kini dijalankan oleh syarikat penerbangan Malindo Air.
“Kita dapat keputusan positif apabila AirAsia menyatakan kesedian untuk memulakan operasi penerbangan yang sekurang-kurangnya dengan satu laluan penerbangan pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi miliknya sebentar tadi.
Jelasnya, hal itu merupakan satu berita baik kepada kerajaan negeri dan saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh orang ramai khususnya warga Melaka.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri komited untuk membantu dan bekerjsama dengan syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi menjadikan LTAM sebagai hab penerbangan terunggul di selatan Semenanjung Malaysia.
“Kita yakin dan percaya apabila AirAsia memulakan operasi penerbangannya di Melaka kelak, ianya mampu meningkatkan hasil ekonomi negeri dengan penambahan bilangan pelancong sekali gus meningkatkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Mohd Sofi bersama wakil daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) mengadakan pertemuan bersama AirAsia Berhad yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri, Riad Asmat di ibu pejabat mereka di RedQ KLIA2.