Macau Scam & tipu pinjaman wang tidak wujud : RM347,832.50 kerugian direkod di Jasin tahun 2018 – Polis

Macau Scam & tipu pinjaman wang tidak wujud : RM347,832.50 kerugian direkod di Jasin tahun 2018 – Polis

JASIN 31 Jan. – RM347,832.50 kerugian direkodkan tahun lalu melibatkan 25 kes penipuan ‘Macau Scam’ dan tipu pinjaman wang tidak wujud di daerah ini.

Dari jumlah tersebut, RM226,284 kerugian dicatat untuk 13 kes Macau Scam, manakala 12 kes tipu pinjaman tidak wujud dibuka dan melibatkan kerugian RM121,548.50.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden, Arshad Abu berkata, kes-kes sindiket memperdayakan mangsa dikenali Macau Scam dengan modus operandi menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis, wakil mahkamah dan juga pengutip hutang ini dilihat semakin meruncing.

Menurutnya, taktik sindiket memperdaya mangsa dengan mengatakan mangsa punyai tunggakan hutang kad kredit selain sindiket juga turut menjalankan sindiket penggubahan wang haram.

“Bagi kes tipu pinjaman tidak wujud pula, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kaedah menyamar sebagai syarikat pinjaman wang berlesen.

“Mereka kemudian menawarkan proses pinjaman mudah kepada mangsa hingga mendorong mangsa membuat bayaran bagi mendapatkan pinjaman ditawarkan,” katanya kepada MelakaKini.

Ujar Arshad, sebagai langkah berjaga-jaga, polis menasihatkan orang awam supaya mengendahkan panggilan telefon atau mana-mana pihak yang mengumpan mereka untuk mendapatkan maklumat peribadi.

“Jika ragu-ragu boleh terus hubungi pihak bank untuk membuat semakan.

“Individu terbabit juga boleh layari laman sesawang bank untuk lihat status akaun selain hubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Bank Negara (BNM) bagi pengesahan syarikat dan kewujudan tawaran pinjaman wang tersebut,” katanya.

CATEGORIES