Mahasiswa UiTM perlu lebih agresif

JASIN 28 Feb. – Golongan mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka perlu bersikap agresif dalam mempersiapkan diri agar mereka berdaya saing dan berkebolehan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Sabariah Mahat berkata, golongan mahasiswa juga perlu mempunyai etika keprofesionalan dan mempunyai kesedaran secara menyeluruh terhadap persekitaran, masyarakat dan negara.
Menurutnya, justeru itu, mereka haruslah memberi penekanan terhadap gaya hidup pada masa kini yang banyak memberi pengaruh kepada diri mereka agar tidak tersasar dari matlamat untuk menjadi seorang graduan yang berjaya.
“Dalam meniti kehidupan sebagai mahasiswa, sudah pastilah pelbagai rintangan harus ditempuhi dan di sinilah mahasiswa harus bijak dalam memersiapkan diri agar terus berjaya dengan amalan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis perasmian penutup Minggu Pemantapan Siswa (MPS) dan perasmian Kempen Kesedaran 2019 “Jom Cakna” UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin, dekat sini, semalam.
Majlis itu dihadiri seramai 343 pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Perladangan & Agroteknlogi dan Fakulti Sains Komputer & Matematik, Ahli Majlis Eksekutif Negeri (MJEN), staf akademik dan pentadbiran, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin.
Hadir sama, Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin Melaka (KJM), Prof. Madya Dr. Mohd. Rasdi Zaini dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka, Ahmad Khairuman Md Hasim.
Menurut Mohd. Rasdi, tujuan utama “JOM CAKNA” diadakan untuk memupuk pelajar lebih peka terhadap persekitaran kampus, keselamatan diri dan juga kebajikan pelajar dari pelbagai aspek.
Katanya, Kampus Jasin dalam usaha untuk melestarikan kampus hijau dengan mengadakan kempen kitar semula, mencegah masalah kesihatan seperti penyalahgunaan dadah dan mengurangkan peratus kemalangan jalan raya.
“Melalui kempen ini, ia sekali gus akan dapat memberi kesedaran dengan mengubah minda, persepsi, sikap dan tingkah laku pelajar terhadap isu-isu awam dan keselamatan mereka sama ada di dalam atau di luar kampus.
“Penganjuran seperti ini juga akan dapat menarik minat pelajar untuk lebih fokus tentang persekitaran kampus dan melahirkan pelajar ke arah pembentukan generasi muda yang hebat dari segi akademik, sahsiah diri, rohani dan jasmani,” katanya.
Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT