Mahu elak anjing, kereta terbabas atas kubur

Mahu elak anjing, kereta terbabas atas kubur

BANDARAYA MELAKA 23 Feb. – Gara-gara mahu mengelak dari melanggar anjing, seorang pemuda berusia 30 tahun cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terbalik di atas kubur di Jalan Bukit Senjuang, di sini, baru-baru ini.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Proton Iswara Aeroback tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa datang dari arah persimpangan lampu isyarat Semabok hendak menuju ke Ujong Pasir.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang cuba mengelak anjing dikatakan tidak berjaya mengawal keretanya dan terbabas ke kawasan kubur di sebelah kanan jalan,” katanya kepada media petang tadi.

Afzanizar berkata, akibat kemalangan itu mangsa cedera di beberapa bahagian badan termasuk luka di kepala dan tangan.

“Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital swasta di sini.

“Manakala kenderaannya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum dihantar ke Puspakom untuk tindakan lanjut,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

CATEGORIES