Majlis Dekorasi TBC Jalan Jonker 2019 sesuai masuk kalendar pelancongan Melaka

BANDA HILIR 20 Jan.- “Acara unik dan menarik seperti Majlis Perasmian Dekorasi Tahun Baru Cina Jalan Jonker ini sangat sesuai dimasukkan dalam kalender acara pelancongan negeri,” kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew.
Beliau yang mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari berkata program seumpama itu dapat meningkatkan jumlah pelancong kepada 20 juta orang sempena Tahun Melawat Melaka 2019.
“Acara ini menarik untuk disertai oleh pelancong sama ada tempatan mahupun asing bagi mengalami sendiri keunikan budaya masyarakat Cina di negara kita.
“Pelancong yang datang ke Jalan Hang Jebat atau lebih dikenali sebagai Jonker Street boleh melawat banyak tempat bersejarah seperti Muzium, tokong,kuil Makam Hang Kasturi, galeri dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Dekorasi Tahun Baru Cina Jalan Jonker 2019, di sini, malam tadi.
Jelasnya, Jalan Jonker merupakan salah satu destinasi tumpuan pelancong di negeri ini dan ia merupakan syurga kepada para peminat serta pengumpul barangan antik dan murah.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob dan hadir sama barisan Exco kerajaan negeri.