Mamee sumbang RM100,000 untuk Tabung Harapan Malaysia

Mamee sumbang RM100,000 untuk Tabung Harapan Malaysia

ADLY dan Tee Chee menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

 

AYER KEROH 18 Jun – Kerajaan negeri menerima sebanyak RM100,000 dari Syarikat Mamee Double Decker (M) Berhad (Mamee) untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata, sumbangan disampaikan syarikat yang telah mempunyai jenama di pasaran sejak 1971 itu bagi merealisasikan tanggungjawab dan keprihatinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) terbabit membantu negara.

Menurutnya, selain itu kerajaan negeri juga telah menyampaikan sumbangan RM350,000 kepada tabung tersebut termasuk hasil kutipan agensi kerajaan negeri serta anak syarikat milik kerajaan negeri.

“Baru-baru ini ada penjual buah-buahan yang menyumbang hampir RM88,000 hasil jualan amal yang dilakukan selama seminggu dan Mamee turut menyumbang dari pekerja-pekerjanya dan pihak Mamee sendiri menyumbang sebanyak RM100,000.

“Sejak adanya Tabung Harapan Malaysia, saya lihat ramai tampil ke hadapan untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara,” jelasnya.

Adly berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan Aidilfitri anjuran Badan Kebajikan & Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (Harwanis) bersama Syarikat Mamee Double Decker (M) Berhad di kilang terbabit, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Harwanis, Dalilah Awaludin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li; Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker (M) Berhad, Tan Sri Pang Tee Chee dan Pengarah Urusan Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.

Jelas Adly, usaha dilakukan syarikat berkenaan perlu dicontohi syarikat swasta mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain agar dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.

Pada majlis tersebut, seramai 150 anak-anak yatim serta golongan asnaf menerima sumbangan dari Mamee disampaikan Ketua Menteri.

CATEGORIES