MAPAN: 483 penjawat awam terima APC

MAPAN: 483 penjawat awam terima APC

AYER KEROH 29 Jan. – Seramai 483 penjawat awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sempena Majlis Penghargaan Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) 2019 di Dewan Seri Negeri di sini, petang tadi.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, majlis tersebut sebagai menghargai penjawat awam yang cemerlang melaksanakan tugas dan tanggungjawab di jabatan dan agensi masing-masing.

Katanya, anugerah dan insentif diberi bagi memberi galakan kepada penerima anugerah mengekalkan momentum kualiti dan kecemerlangan dalam menjayakan dasar dan agenda kerajaan.

“Kerajaan negeri berbesar hati memberikan insentif berbentuk wang tunai RM1, 000 dan sijil perkhidmatan cemerlang kepada penerima anugerah hari ini bagi menyuntik semangat serta dorongan dalam mempertingkatkan mutu kerja berkualiti dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penghargaan Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) 2019 di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Tambah Adly, penjawat awam perlu bersiap siaga dengan kemahiran baharu, menguasai ilmu, berintegriti dan manfaatkan teknologi untuk terus kekal relevan dan berdaya saing.

“Penjawat awam seharusnya menghapuskan sifat dengki, mengadu domba dan amalan memfitnah untuk mewujudkan persekitaran yang sihat.

“Selain bekerja secara berpasukan dalam menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan tidak terkongkong dengan sempadan atau silo masing-masing,” jelasnya.

CATEGORIES