MARDI hasilkan baka ayam kampung berkualiti tinggi
Pertanian adalah perniagaan....

DIN AHMAD
ALOR GAJAH 31 Jan. – Penternakan ayam kampung asli lazimnya membabitkan usaha penduduk luar bandar menternak secara konvensional iaitu melepaskan ayam secara bebas mencari makan di sekeliling kawasan rumah, selain tinggal dalam reban sempit.
Bagaimanapun, berdasarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap ayam kampung asli, penternakannya kini berfungsi sebagai industri menguntungkan dan ia disokong dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bandar Muadzam Shah, Pahang.
MARDI berjaya menghasilkan anak ayam kampung asli melalui kumpulan ayam penjantan dan induk betina terpilih berdasarkan tumbesaran dan ciri fizikal tertentu yang ditetapkan agensi berkenaan.
Menjelaskannya, Pengarah MARDI Melaka, Nik Adli Nik Mohamad berkata, ayam berkenaan diternak dalam reban intensif terbuka dengan nisbah 1:10 jantan kepada betina.
“Ayam kampung asli MARDI lebih pejal berbanding ayam kampung kacuk atau ayam kampung biasa dan kadar tumbesarannya mencapai berat 1.5 kilogram (kg) dalam tempoh 12 minggu.
“Kadar penelurannya ialah 120 biji setahun berbanding ayam kampung biasa atau kacuk 80 biji setahun serta memberikan pulangan memuaskan kepada penternak,” katanya ketika ditemui di Ladang Ayam Sebang Agrofarm di Kampung Pulau Sebang, di sini hari ini.
Ladang milik Mohd Hafiz Noordin, 51, dan rakan kongsinya, Azri Khairi Juaher, 28, adalah satu daripada tiga syarikat usahawan tani di Melaka yang dipilih MARDI Melaka sebagai pengeluar utama ayam kampung asli MARDI atau ‘Grand Parents Stock’ untuk dibekalkan kepada penternak ayam kampung di seluruh Melaka dan negeri lain.
Azri Khairi berkata, berbekalkan modal RM100,000, dia dan rakan kongsinya memajukan tanah seluas 0.6 hektar milik Mohd Hafiz untuk membina enam reban yang setiap satu berkeluasan 6 x 7.6 meter persegi pada 2014.
“Struktur bawah ialah batu blok setinggi 0.3 meter dan pagar dawai setinggi tiga meter serta lantainya simen ditutupi dengan habuk kayu,” katanya.
Pada awal operasi, mereka membeli 1,000 anak ayam kampung asli pada harga RM2.10 seekor daripada pengeluar di Pulau Pinang dan selepas dipelihara selama 12 minggu, haiwan itu dipasarkan pada harga RM14 satu kg.
Hasil kesungguhan memajukan industri itu, syarikat mereka dipilih menerima geran ‘Inkind Contribution’ MARDI bernilai RM30,000 pada Disember 2015 dan dengan modal itulah mereka membeli kelengkapan seperti inkubator (mesin eraman telur), kotak ayam bertelur, makanan ayam dan seumpamanya.
Mereka diberikan kepercayaan MARDI Melaka untuk menjadi satu daripada ‘Grand Parents Stock’ pada 2016 yang dijanjikan untuk menerima pelbagai kemudahan, terutama 1,200 anak ayam kampung asli dari MARDI Bandar Muadzam Shah.
Sementara menunggu bekalan anak ayam itu, Azri Khairi dan Mohd Hafiz mendapatkan telur ayam kampung asli MARDI daripada peserta ‘Grand Parents Stock’ MARDI di Kemaman, Terengganu pada harga 75 sen sebiji dengan kadar pembelian 3,000 biji setiap tiga minggu.
Bagi mengurangkan kos makanan, mereka menghasilkan sendiri bahan makanan yang diperbuat daripada jagung, soya dan beberapa bahan campuran lain.
Kini mereka mampu tersenyum bangga dengan kejayaan memasarkan ayam kampung asli MARDI yang menerima permintaan tinggi daripada penternak ayam kampung dan peniaga restoran yang menyediakan menu ayam kampung dari seluruh Melaka dan Lembah Klang.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui facebook sebang agrofarm atau menghubungi Azri Khairi (01131996618).