Martabatkan seni pantun

AYER KEROH 8 Feb – Seni pantun seumpamanya perlu diperluas dalam menjamin persekitaran dan penggunaan bahasa Melayu yang standard, jelas Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Siti Khadijah Mion.
Beliau berkata, ia (seni pantun) juga dapat memperkukuh pendidikan bahasa Melayu dan meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu melalui kurikulum, kokurikulum dan pentaksiran pada semua peringkat.
“Peranan KPM amat penting dalam memastikan kualiti guru sentiasa ditingkatkan melalui saringan dan latihan untuk menjamin kecekapan kemahiran berbahasa Melayu.
“Jadi, dengan seni berpantun juga dapat memupuk, meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan dalam bahasa Melayu seterusnya meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan Pesta Pantun misalnya dapat memantapkan bakat murid untuk mendalami seni kesusasteraan Melayu dan menyemai kecintaan terhadap seni budaya bangsa agar terus diwarisi sepanjang zaman.
“Sebenarnya bahasa yang puitis lagi indah menggambarkan kelembutan budi bahasa masyarakat kita. Namun jika dilihat, ia semakin pudar kepada generasi muda sekarang.
“Usaha sebegini (pesta pantun) misalnya menunjukkan masih ada anak muda yang meminati seni berpantun,” katanya.
Jelasnya, sejajar dengan peranan Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan, seni kesusasteraan Melayu seperti pantun seharusnya dijadikan sebagai wadah pemangkin perpaduan rakyat.