Masalah perparitan: Punca banjir, isu kesihatan dan mentaliti penduduk

Masalah perparitan: Punca banjir, isu kesihatan dan mentaliti penduduk

MALIM 20 Feb.- Sistem perparitan yang tidak teratur dan mendapan tanah menjadi faktor utama banjir kilat di tujuh kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang yang kerap berlaku pada awal tahun lalu.

Pemeriksaan yang dilakukan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mendapati masalah perparitan terutama di kawasan kampung di dalam Dun Kesidang agak kritikal, malah tiada sistem perparitan yang baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin berkata, tanpa sistem perparitan yang baik, penduduk juga terancam dengan jangkitan penyakit seperti denggi selain banjir kilat.

“Selain tiada sistem perparitan yang baik, terdapat juga rekabentuk sistem perparitan yang uzur sehingga tidak dapat menampung aliran air ketika hujan lebat kurang dua jam.

“Permasalahan ini telah dibangkitkan kepada pihak berkaitan dan tindakan susulan telah dijalankan, sama ada kajian atau gerak kerja bagi mengatasi masalah terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat segelintir individu yang melakukan pembuangan sampah ke dalam sistem perparitan yang sedia ada sehingga mengganggu aliran air.

Alex berkata, antara sampah ‘luar biasa’ yang ditemui sepanjang kerja pembersihan dijalankan adalah tilam, perabot, rangka motosikal dan sampah bahan binaan seperti papan lapis.

“Sikap sambil lewa dan degil individu seperti ini merugikan semua peringkat kerja yang dilaksanakan kerajaan, malah menyusahkan penduduk sekitar dengan perbuatan mereka.

“Jika masyarakat sendiri tiada kesedaran terhadap pentingnya kebersihan, segala peruntukan membaikpulih sistem perparitan untuk kesejahteraan bersama menjadi sia-sia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau kerja pembersihan yang dilakukan oleh kontraktor pembersihan yang dilantik agar tidak merugikan PBT dalam jangkamasa panjang.

“Aduan penduduk yang diterima dan disah pihak kami mendapati masih ada kerja-kerja pembersihan separuh jalan yang dilakukan kontraktor yang dilantik. Malah, ada pekerja kontraktor yang berkumpul tanpa melakukan kerja mereka ketika ditemui.

“Pihak PBT perlu turun padang memantau kerja yang dilakukan kontraktor mereka agar perkara seperti ini dapat dielakkan agar belanja yang dikeluarkan berbaloi,” tambahnya.

CATEGORIES