Masjid Ibadurrahman Tangga Batu dijangka siap 1 Mac ini

TANGGA BATU 20 Feb. – Masjid Ibadurrahman di Tangga Batu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Mac ini, dan pada tarikh tersebut turut akan diadakan solat Jumaat yang pertama serta bacaan Yasin.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundur, Johari Osman berkata dengan siapnya masjid tersebut, ia akan memudahkan penganjuran aktiviti keagamaan selain fokus untuk melahirkan imam di kalangan golongan muda.
“Kita kena memahami peranan masjid yang sebenarnya, jika kita penuhkan jemaah di masjid tetapi tiada sebarang aktiviti melibatkan keilmuan pun tiada gunanya.
“Disebabkan itu, perlu diadakan sebarang aktiviti di bawah seliaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Masjid Ibadurrahman di Tangga Batu, baru-baru ini.
Katanya, pihak Jawatankuasa Pembangunan & Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor sendiri kini sedang memfokuskan untuk melahirkan imam di kalangan anak-anak muda.
“Pihak Japerun kini memfokuskan untuk melahirkan imam muda di mana mensasarkan mereka yang berumur bawah 30 tahun.
“Selain itu, kami juga merangka beberapa program melibatkan pembelajaran bacaan al-Quran,” jelasnya.
Sementara itu, Masjid Ibadurrahman kini sudah siap 90 peratus dan mampu memuatkan 1,500 hingga 1,700 jemaah dalam satu-satu masa.
Masjid tiga tingkat itu juga turut dilengkapi dengan sekolah agama.
Lebih menarik lagi, masjid itu juga dihiasi dengan landskap pokok kurma hasil sumbangan pihak kontraktor binaan.