Masuk percuma ke galeri seni rakyat RM5 ke lima muzium

Masuk percuma ke galeri seni rakyat RM5 ke lima muzium

PROMOSI RM5 tiket masuk ke lima buah muzium.

BANDARAYA MELAKA 8 Okt. – Galeri Seni Rakyat yang terletak di Jalan Laksamana kini dibuka kembali untuk dilawati orang ramai khususnya kepada peminat-peminat seni visual dari dalam mahupun luar negara.

Sempena pembukaan semula galeri ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengadakan pameran solo koleksi Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka yang bertajuk ‘Tun Khalil Yaakob Artist – Potraits & Images’.

Sebanyak 60 buah lukisan hasil seni dipamerkan merupakan karya dilukis sendiri oleh Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob, Gabenor Negeri Melaka yang memaparkan potret dan imej-imej abstrak.

Pameran ini dibuka mulai 11 Mei 2018 lalu dengan kemasukan pelawat ke galeri adalah percuma.

Orang ramai boleh melawat ke galeri ini yang dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

Di Muzium Orang Asli pula, terdapat pelbagai bahan pameran, artifak dan maklumat menarik dan mencukupi bagi mengetahui sejarah, kebudayaan, adat dan warisan masyarakat Orang Asli di Malaysia amnya dan Melaka khususnya.

Pengunjung juga boleh mencuba beberapa aktiviti menarik seperti menyumpit dan bermain muzik tradisional kong-kong.

Ianya berdekatan Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Botanikal, Mini Malaysia dan Melaka Wonderland yang dibuka setiap hari kecuali Isnin.

Bagi promosi menarik ini, pihak PERZIM turut menawarkan harga serendah RM5 untuk lawatan ke lima buah Muzium dan sebuah galeri di Kompleks Stadthuys.

Muzium-muzium dan galeri terdapat di Kompleks Stadthuys ialah Muzium Sejarah dan Etnografi, Muzium Pendidikan, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Tuan Yang Terutama dan Galeri Laksamana Cheng Ho.

Terdapat dua kaunter tiket untuk memasuki ke Kompleks Stadthuys iaitu kaunter tiket Muzium Sejarah dan Etnografi (Stadthuys @ Bangunan Merah) dan di kaunter tiket Muzium Tuan Yang Terutama (atas Bukit St. Paul).

CATEGORIES