Mat rempit bangkit bina Coconut Shake Batu Berendam

Mat rempit bangkit bina Coconut Shake Batu Berendam

WALAUPUN bukan dalam kategori ‘budak pandai’ malah berkelulusan setakat darjah enam, tidak mematahkan semangat buat seorang mat rempit di sini, bangkit membina keyakinan diri untuk membantu ekonomi keluarga.

Atas keyakinan itu, pada 2010 dengan bermodalkan RM75, Mohd Khairi Atan, 31, memulakan bisnes kecil-kecilan dengan menjual air kelapa dan mata kucing di Batu Berendam demi membantu ibu tercinta.

“Kami sekeluarga suka berniaga. Dulu mak berniaga pasar malam dan saya selalu membantunya bersama adik beradik.

“Saya sebak tengok mak ketika itu yang perlu membawa lori dan mengangkat tong gas semata- mata mahu berniaga untuk menyara anak-anak, jadi ketika darjah enam saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, setelah berniaga dalam masa kira-kira tiga bulan, dia bersama rakan mendapat idea untuk membuat coconut shake memandangkan dia menjual kelapa muda.

“Ketika itulah perniagaan melonjak, dengan berbekalkan modal tambahan dan menjual alat ganti motosikal, saya berjaya mengumpul RM24,000 untuk membesarkan perniagaan coconut shake.

“Tapi nak bina nama tu bukan datang sekelip mata. Banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Alhamdulillah ramai kawan-kawan motor dan empat tahun selepas itu baru perniagaan ini benar meletop,” katanya yang juga gemar merempit.

Kini, dia mampu berbangga apabila dengan hasil titik penuh itu dirinya kini mampu memiliki lebih 20 mesin pengisar air dan tiga kedai serta seramai 30 pekerja yang juga kebanyakkannya mat rempit.

“Memang ramai pekerja saya adalah sahabat sendiri. Kami memang punya minat yang sama iaitu bermain motosikal. Siang cari rezeki halal, kalau tiada apa kerja malam hari kami akan berkumpul bersama.

“Saya bersyukur kebanyakan mereka masih setia bekerja bersama saya sejak dari saya tiada apa-apa. Sebab itu kebiasaannya saya akan membawa mereka berkumpul dan makan bersama,” katanya yang merupakan anak sulung dari empat beradik.

Menurut Mohd Khairi, sejak berniaga dialah orang yang bertanggungjawab menanggung ibu dan tiga adik beradik sehingga mereka memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya juga yang tanggung kos perkahwinan mereka dan berikan modal untuk mereka berniaga. Semua ini saya buat atas dasar tanggungjawab dan mahu menyenangkan keluarga.

“Saya dah berasa susah, lagi sedih bila mengenangkan pengorbanan ibu, itu yang membuatkan saya tekad untuk bersungguh-sungguh,” katanya.

Kini, dengan berkat usaha yang tidak henti perniagaan Coconut Shake Batu Berendam miliknya tersenarai di dalam kalendar produk pelancongan Melaka.

“Sehingga kini ramai pelancong luar singgah dan merasai sendiri coconut shake saya antaranya ada yang datang dari jauh seperti China, Vietnam dan Hong Kong.

“Sebenarnya saya sendiri telah membayar sebanyak RM680 setahun kepada Google untuk pemasaran,” katanya yang sudah berkahwin dan punya dua anak.

Biarpun berada dipuncak kejayaannya ketika ini, Mohd Khairi tidak pernah lupa pesanan arwah datuknya agar bersedekah 30 peratus setiap daripada hasil jualan kepada orang yang memerlukan.

“Berpegang dengan pesanan itu, sampai sekarang saya tidak pernah lupa bersedekah dua kali sebulan ke badan-badan amal di seluruh negeri.

“Alhamdulillah, saya mahu keberkatan dalam berniaga. Memang dari dulu lagi saya akan buat begitu biarpun semasa berniaga kecil-kecilan. Sebab saya pasti setiap rezeki yang ALLAH swt beri itu bukan milik kita sahaja,” katanya.

CATEGORIES
TAGS