MBMB anjur pertandingan vlog tawar hadiah lumayan

BANDA HILIR 27 Feb.- Bersempena Sambutan Ulang tahun ke-16 Bandaraya Melaka bersejarah, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif menganjurkan satu pertandingan Vlog MBMB 2019.
Pertandingan menggunakan medium vlog dipilih seiring dengan kecenderungan medium tersebut yang dilihat popular dalam kalangan masyarakat kini.
Pertandingan tersebut bertemakan ‘The Uniqueness of Melaka City’ atau keunikan Bandaraya Melaka dan berkonsepkan empat elemen iaitu makan-makan; jalan-jalan; jom shopping dan budaya di Melaka.
Melalui pertandingan itu juga, MBMB mengenakan yuran sebanyak RM100 kepada semua peserta di samping memberi peluang kepada ‘bloggers’ untuk sama-sama membantu kerajaan negeri bagi mempromosikan lagi kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.
Hadiah yang ditawarkan dalam enam kategori termasuk tempat pertama dengan wang tunai RM7,000 beserta penginapan di Melaka dan sijil penyertaan.
Manakala bagi hadiah tempat kedua, wang tunai RM5,000, penginapan di Melaka dan sijil penyertaan; ketiga wang RM3,000, penginapan di Melaka dan sijil penyertaan.
Turut diberi hadiah bagi kategori Suntingan Terbaik, Catchy Tagline dan ‘Like’ dan ‘Share’ dengan wang tunai RM2,500 bagi kategori masing-masing.
Penyertaan akan ditutup pada 31 Mac 2019, segala syarat dan sebarang pertanyaan layari laman sesawang www.mbmb.gov.my atau hubungi Norhaszurah di talian 06-285 9857 atau Akmal di talian 06- 2859854.