MCPF & polis jalin kerjasama sasar bantu golongan remaja

MCPF & polis jalin kerjasama sasar bantu golongan remaja

BUKIT BERUANG 23 Jan. – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyasarkan golongan remaja sebagai fokus utama yayasan tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia berikutan golongan tersebut mudah terpengaruh pelbagai masalah sehingga membawa kepada kes-kes jenayah.

Menurut beliau, bukan mahu melabelkan golongan remaja saja yang sering terlibat dengan jenayah, tetapi mereka antara kumpulan individu yang mudah terdorong melakukan kes tersebut.

“Kami cuba membimbing dan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai impak melakukan jenayah dan perkara yang salah dalam undang-undang.

“Ini penting supaya mereka tidak akan berani melakukannya dan berfikir terlebih dulu sebelum cuba melibatkan diri dengan sebarang jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Polis DiRaja Malaysia (PDRM) & Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka (IPK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah dan Pengerusi MCPF Melaka, Edison Chan.

Ujar Lam Thye, kesihatan mental memainkan peranan penting memastikan golongan terbabit bebas dari jenayah.

“Pemikiran yang sihat juga membantu kita membuat keputusan yang betul. Nilai-nilai murni yang ada dalam diri antara faktor seseorang itu menjadi individu yang bebas dari melakukan jenayah.

“Kerana itu pendidikan mengenai jenayah ini sangat penting supaya golongan sasaran tidak mudah terjebak dengan rakan-rakan atau apa saja yang dilampirkan di laman sosial yang berunsurkan jenayah,” katanya.

Sementara itu, Raja Shahrom berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting terhadap perkara tersebut.

“Kebanyakan kes rogol melibatkan remaja bawah umur berpunca dari WeeChat, WhatsApp Group dan laman sosial lain.

“Kerana itu, ibu bapa perlu memantau rutin harian anak-anak supaya tidak terlalu taksub terhadap laman sosial hingga mempengaruhi mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan MCPF, jelas Raja Shahrom, ianya satu inisiatif baik dan polis sentiasa menyokong usaha yayasan tersebut.

“Pelbagai program bersama telah diracang termasuk ceramah, pameran, kempen dan sesi dialog yang memfokuskan kepada pencegahan jenayah.

“Saya yakin MCPF juga mampu menjadi penghubung antara masyarakat dan polis untuk sama-sama membasmi jenayah di negeri ini,” katanya.

CATEGORIES