MED kenal pasti masalah utama usahawan muda

MED kenal pasti masalah utama usahawan muda

AYER KEROH 23 Okt. – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan mewujudkan pusat-pusat sehenti bagi mengetahui masalah usahawan muda seluruh negara, selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, setakat ini hanya terdapat tiga pusat sehenti iaitu di Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Katanya, setiap negeri akan punyai sekurang-kurangnya satu pusat sehenti supaya MED mampu mengenal pasti masalah para usahawan muda, sekali gus memudahkan kementerian menyampaikan bantuan.

“Setiap negeri akan ada pusat sehenti itu dan Melaka tidak terkecuali.

“Kita mahu selesaikannya tahun ini (pusat sehenti), antara objektifnya supaya kementerian mengetahui masalah mereka dan boleh mengembangkan produk atau membantu mereka menerusi konvensyen bersama agensi berkaitan.

“Ini termasuk memudahkan mereka menerima bantuan dari segi latihan, mengenal pasti industri dan peluang boleh diterokai serta bantuan kewangan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan sedia membantu dan menggalakkan golongan muda menceburi bidang usahawan.

Menurutnya, beberapa aspek telah dikenal pasti, antaranya melibatkan hala tuju perniagaan usahawan muda.

“Kebanyakannya menceburi bidang usahawan tanpa hala tuju yang jelas, jadi mereka masih lagi dalam peringkat untuk mencuba-cuba.

“Kita akan bantu mereka dari pelbagai sudut, antaranya pasaran, penjenamaan produk, kelengkapan dan kewangan, dengan syarat mereka punyai disiplin bayaran balik yang baik,” katanya.

CATEGORIES
TAGS