Mei hingga Disember 2018 : 55 menara telekomunikasi dibina

AYER KEROH 19 Feb. – Sebanyak 55 menara telekomunikasi telah dibina di seluruh negeri bagi membangunkan infrastrukturnya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia & Sukan, Kerk Chee Yee berkata, jumlah menara telekomunikasi itu dibina bermula Mei hingga Disember 2018 lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara apabila berupaya membina purata 30 menara yang sama setiap tahun pada tahun sebelumnya.
Katanya, kerajaan negeri bersedia membuka peluang kerjasama kepada penggiat telekomunikasi di negara ini untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi di Melaka, seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan sektor tersebut di negeri ini.
“Kerjasama ini juga penting untuk menggalakkan lebih banyak penggiat telekomunikasi terlibat dalam sektor tersebut dan menampung permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat,” jelasnya.
Chee Yee berkata demikian selepas melancarkan Karnival Unifi Mobile Telekom Malaysia (TM) Melaka 2019 di perkarangan Menara TM Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Isnin lalu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kluang, Chew Chong Sin; Pengurus Besar TM Melaka, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan dan Ketua Cawangan Melaka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Hairudin Mohd Zin.
Chee Yee berkata, sepanjang sembilan bulan kerajaan PH mentadbir negeri, banyak transformasi telah dilakukan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Insfrastruktur Telekomunikasi.
Ujarnya, jawatankuasa tersebut ditugaskan mengkaji serta mencari jalan penyelesaian dalam meningkatkan perkhidmatan rangkaian mobile di negeri ini.
Mengulas program yang dianjurkan TM Melaka, Chee Yee berkata, perkhidmatan terbaharu yang dilancarkan boleh memberi banyak pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan unifi mengikut kemampuan mereka.
Jelasnya, pelan baharu serendah RM39, RM29 dan RM19 itu sangat sesuai untuk peringkat usia termasuk mereka yang sedang belajar selain memberi kemudahan kepada ibu bapa mengawal ekonomi keluarga.
“Saya yakin TM sebagai peneraju konvergens negara selain penyedia perkhidmatan komunikasi berintegerasi numbor 1 di Malaysia mampu menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian menyeluruh kepada rakyat.
“Ia merangkumi komunikasi jalur lebar, data, talian tetap dan terkini adalah talian mudah alih yang memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan yang berkualiti dan sentiasa dipertingkatkan melalui inovasi yang sentiasa diberi penambahbaikan kepada kecekapan operasi dan produktiviti,” jelasnya.