Melaka bakal wujud pakej pelancongan

BANDARAYA MELAKA 3 Jun – Kerajaan negeri akan mewujudkan pakej pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka pada tahun 2019.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Muhammad Jailani Khamis berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai operator pelancongan dan syarikat swasta di negeri ini dengan harga berpatutan.
Jailani berkta, Negeri Melaka punyai banyak destinasi pelancongan yang menarik, namun ada pelancong yang belum mengetahui tentang kewujudan tempat berkenaan.
Menurutnya, Muzium Kapal Selam, Melaka Impresion dan pelbagai yang akan pihaknya ketengahkan melalui pakej ini.
Katanya, pelancong boleh melawat destinasi menarik berpandukan pakej-pakej yang mereka ambil.
Ujarnya, pakej pelancongan tersebut terdiri dari pakej keluarga, pakej persendirian dan pakej bulan madu untuk pasangan baru berkahwin.
“Pakej pelancongan ini boleh ditempah dalam tempoh enam bulan akan memperkenalkan keunikan budaya dan warisan Melaka kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Kita juga yakin melalui pakej pelancongan ini, sasaran menarik 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 dapat dicapai,” katanya.
Jailani berkata demikian selepas merasmikan Sesi Gambar untuk Persembahan Menyelam Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Piala Dunia FIFA 2018 di The Shore Ocenarium, Sabtu lalu.
Turut hadir, Pengarah Urusan The Shore Oceanarium Melaka, Chew Chert Fong.