Melaka bawa masuk lagi pelaburan RM31.5 juta

Melaka bawa masuk lagi pelaburan RM31.5 juta

AYER KEROH 24 Feb.- Kerajaan negeri berjaya membawa masuk nilai pelaburan tambahan kira-kira RM31.5 juta dalam tempoh tiga bulan bermula November hingga Februari ini.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, jumlah itu membabitkan sektor pembuatan dari syarikat yang sedia ada dan ia sudah bertapak di negeri ini.

“Seperti syarikat di Bukit Rambai sebanyak RM3.85 juta, syarikat di Telok Mas sebanyak RM5.2 juta dan syarikat komponen kenderaan di Alor Gajah dengan nilai pelaburan RM22 juta,” katanya.

Mohd Rafiq berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post Exco terbabit di bangunan PKNM, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, di bawah portfolio berkenan juga telah merancang pelan strategi bagi menarik lebih ramai pelabur ke Melaka sekali gus mampu mencapai sasaran kerajaan negeri kemasukan pelaburan sebanyak RM5 billion sepanjang tahun ini.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan menjadi pemangkin agensi pelaburan yang penting dengan berperanan sebagai medium pertemuan bersama syarikat-syarikat pelaburan yang berpotensi setiap minggu selain mampu meminimumkan tempoh syarikat pelaburan membuat keputusan.

“Kita akan sentiasa membincangkan strategi yang boleh digunapakai oleh kerajaan negeri untuk menambah nilai pelaburan pada tahun ini dan mencapai sasaran RM5 bilion itu.

“Strategi itu termasuk PKNM akan mengadakan pertemuan secara mingguan dengan pelabur yang berpotensi melabur dan kita akan dapat lihat secara terperinci mereka yang berminat agar dapat memuktamadkan keputusan mereka melabur di Melaka secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya, jumlah itu tidak melibatkan sektor- sektor lain seperti perhotelan yang yakin mencatatkan nilai pelaburan positif dalam tempoh tahun yang sama.

CATEGORIES