Melaka budayakan maqasid syariah

AYER KEROH 7 Mac – Kerajaan negeri sedia menerima usaha membudayakan maqasid syariah dalam kalangan masyarakat terutamanya di negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Melaka sejak awal lagi telah mengambil insiatif itu bagi memastikan pemikiran rakyat untuk membudayakan maqasid syariah.
Beliau berkata, ia bukan sahaja diterapkan sebagai pemikiran masyarakat, namun mampu menjadi negeri contoh dalam pelaksanaan syariah tersebut.
“Semua tujuan syariat kita lakukan itu, kita mengambil kira ke mana tujuan itu harus dicapai.
“Kadang-kadang kita melaksanakan syariat, tetapi tidak mencapai tujuan dan maksud dari pelaksanaan syariat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian penutup Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fauziah Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan lain-lain kenamaan.
Tambah Adly, pelaksanaan maqasid syariah itu bukan persoalan melibatkan ibadah, namun persoalan harian, akhlak dan tuntutan syariat yang perlu dilihat.
“Ia akan dibincangkan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat, memang sekarang terlalu awal, namun kita berikan masa untuk masyarakat fahami dan laksanakannya.
“Ini permulaan yang baik, Melaka sentiasa mengalu-alukan usaha dibuat pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain memberi kerjasama setiap masa,” katanya.
Katanya, usaha itu bagi memastikan hasrat kerajaan negeri memberi kesejahteraan kepada masyarakat di negeri ini terlaksana.