Melaka buka laluan udara dengan negara IMT-GT

Melaka buka laluan udara dengan negara IMT-GT

ADLY mendengar sesuatu pada Forum Gabenor dan Ketua Menteri Negara IMT-GT Ke-15.

BANDAR HILIR 1 Okt. – Kerajaan negeri perkukuhkan lagi kerjasama strategik dengan negara anggota Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand, (IMT-GT), menerusi pembukaan laluan udara membabitkan dua negara terbabit.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah itu secara tidak langsung mampu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang antara ketiga-tiga negara termasuk ekonomi dan pelancongan.

Katanya, bagi tujuan itu, beberapa syarikat penerbangan tempatan telah bersetuju untuk menambah laluan dua hala antara Melaka ke Indonesia dan Melaka Ke Thailand yang akan mula beroperasi hujung tahun ini.

“Setakat ini syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air sudah menyatakan persetujuan untuk menambah laluan udara itu dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai pengkalan utama,” ujarnya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Gabenor dan Ketua Menteri Negara IMT-GT Ke-15 sempena Mesyuarat Menteri IMT-GT Ke-24 di Hotel Double Tree, Hilton di sini, semalam.

Adly berkata, kerajaan negeri juga sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf LTAM khususnya berkaitan landasan kapal terbang.

“Setakat ini, dua syarikat penerbangan beroperasi di LTAM iaitu Wings Air yang menyediakan khidmat penerbangan dari Melaka ke Medan, Indonesia selain Malindo Air yang menyediakan laluan ke PekanBaru dan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli perniagaan dari tiga negara  sertai program yang berlangsung selama empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober 2018.

CATEGORIES