Melaka cadang tambah baik prasarana AKCC

AYER KEROH 16 Mac – Kerajaan negeri bercadang menambah baik Ayer Keroh Country Club (AKCC) bagi memastikan lokasi tumpuan penggemar sukan golf itu kekal menjadi destinasi utama pelancongan negeri.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, kawasan itu yang dibuka pada 1964 masih mengekalkan ciri-ciri asal memerlukan sedikit perubahan.
“Perlu ada sedikit pembangunan, menaik taraf AKCC kepada detik kegemilangannya.
“Lokasi ini merupakan lapangan golf kedua tertua di negara dan menjadi tarikan kepada penggemar golf seluruh dunia, jadi perlu ada sesuatu supaya kualitinya dapat dikekalkan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Terbuka Melaka 750+7 bagi merebut Piala TYT Gabenor negeri 2019 di AKCC sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari.
Mengulas lanjut, walaupun kerajaan hari ini mewarisi beban yang ditinggalkan pentadbir lama, namun langkah itu akan dilaksanakam demi kelangsungan sektor pelancongan sukan di Melaka.
“Dalam keadaan kita mewarisi kerajaan yang ‘sakit’, kita cuba buat apa yang termampu,” katanya.
Dalam pada itu, kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu turut menarik seramai 900 peserta dari luar dan dalam negara tahun ini.
Antara negara yang menghantar penyertaan adalah Jepun, Indonesia, China, Singapura dan Brunei.
Kejohanan itu akan diadakan di empat lokasi iaitu AKCC, Tiara Melaka Golf & Country Club, Orna Golf & Countru Club dan A’Famosa & Country Club.
Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dijangka hadir pada hari kedua kejohanan itu, esok.