Melaka hab projek pembuatan kenderaan nasional ketiga

KIAN Ming

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedia mempertimbangkan segala cadangan termasuk menjadikan Alor Gajah, Melaka sebagai hab bagi projek pembuatan kenderaan nasional ketiga.

Timbalan Menterinya, Dr. Ong Kian Ming berkata, katakanlah cadangan (pembukaan hab) di Alor Gajah adalah selari dan melebihi dari apa yang boleh dilakukan di Tanjung Malim, kementerianyan sudah pasti sanggup dan boleh mempertimbangkan segala cadangan.

“Projek kereta nasional ketiga merupakan sebahagian dari semakan Dasar Automotif Nasional (DAN) dan kita menerima segala cadangan dari sektor swasta.

“Jadi, tiada yang muktamad ketika menilai segala opsyen dan apabila tiba masanya, polisi ini akan diumumkan oleh menteri dengan sokongan Kabinet,” katanya.

Kian Ming berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan siri Forum Taman Industri Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Wilayah Utara yang dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Khamis lalu.

Terdahulu, Melaka menyatakan kesedian untuk menjadi hab bagi projek pembuatan kereta nasional ketiga biarpun Proton telah banyak melabur memusatkan pengoperasiannya di Tanjung Malim.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, Melaka punyai banyak lokasi perindustrian, sesuai dijadikan tapak pembangunan projek tersebut.

“Kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan perindustrian yang baharu untuk menampung kapasiti yang semakin berkurang dalam kalangan industri di Negeri Melaka ini.

“Kita ada kawasan industri sedia ada yang sesuai untuk dipertimbangkan sebagai destinasi atau lokasi bagi projek kereta nasional yang ketiga nanti,” katanya.

CATEGORIES
TAGS