Melaka mahu percepat bina hospital wanita

Melaka mahu percepat bina hospital wanita

AYER KEROH 6 Mac – Kerajaan negeri akan mempercepatkan projek pembangunan hospital wanita dan kanak-kanak bagi meningkatkan kemudahan perubatan yang sedia ada di negeri ini.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk mengenal pasti bangunan kosong yang sedia ada di dalam kawasan Melaka Tengah supaya jangka masa projek pembangunan itu mengambil masa yang lebih pendek dari membina sebuah bangunan yang baharu.

Menurutnya, bangunan tersebut merupakan status tanah kerajaan dalam daerah ini dan bukan merupakan bangunan di bawah kementerian kesihatan yang terbiar.

“Jika kita membina bangunan baharu kita akan ambil masa yang panjang hingga lebih dari dua tahun, kalau bangunan sedia ada proses lebih mudah dan cepat.

“Selain kos, mungkin kita akan kaji lokasi tersebut sama ada ia strategik atau tidak dan kaji jaraknya dengan lokasi hospital sedia ada,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Jelasnya, berdasarkan perjumpaan bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) minggu lalu turut memberi perhatian serius untuk mempercepatkan pelaksanaan
projek tersebut.

Mengikut rekod tahun lalu, kerajaan negeri pernah mencadangkan Bandar Hang Tuah Jaya sebagai tapak pembinaan seluas kira-kira 25 hektar yang dianggarkan kos sebanyak RM750 juta.

CATEGORIES