Melaka meterai MoU perkukuh kerjasama pelancongan 20 Februari depan

AYER KEROH 14 Feb. – Kerajaan negeri menjangkakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd., (SMV) dan PT Siak Pertambangan dan Energi Hasil di Jakarta 20 Februari depan, mampu mengukuhkan hubungan kedua kerajaan itu menerusi sektor pelancongan.
Menurut Ketua Menteri, Adly Zahari, pemeterian itu adalah impak positif yang dibawa balik hasil lawatan kerja dan kunjung balas delegasi kerajaan negeri ke Siak dan Pekanbaru, Sumatera pada 23 hingga 26 Januari lalu.
Katanya, menerusi MoU yang ditandatangani, SMV akan menyediakan kepakaran bagi membantu pelaksanaan projek Siak River Cruise, sebagai satu produk pelancongan di Sungai Siak, Pekanbaru.
“Dalam masa sama, PT Siak Pertambangan dan Energi akan membeli dua buah bot berkapasiti 60 tempat duduk dari SMV bagi tujuan tersebut.
“Usaha ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan Siak dan kerajaan Melaka khususnya dalam bidang pelancongan dan memberikan impak positif kepada kedatangan pelancongan ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, hari ini.
Sungai Siak merupakan sungai terdalam di Indonesia dan memiliki kepanjangan 370 kilometer.