Melaka perkasakan dron pantau wabak denggi

Melaka perkasakan dron pantau wabak denggi

AYER KEROH 18 Feb. – Ketua Menteri, Adly Zahari akan memperkasakan penggunaan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) untuk memantau tangki air persendirian terbiar yang menyumbang kepada wabak penularan denggi di negeri ini.

Katanya, penggunaan dron milik Jabatan Kesihatan Negeri itu dibuat bagi memudahkan pemantauan di atas bumbung rumah dan kawasan-kawasan yang disyaki menyumbang kepada wabak denggi di negeri ini.

Setakat 9 Februari lalu, kes denggi di Melaka merekodkan peningkatan hampir 200 peratus dengan 236 kes denggi dicatatkan berbanding 79 kes tahun lalu.

“Di peringkat kesihatan memang menggunakan dron sebagai kaedah pemantauan yang lebih cepat dan memudahkan akses di kawasan sukar seperti di bumbung rumah.

“Kaedah ini lebih untuk mudah supaya pemantauan dapat dilakukan dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 314 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Adly turut menyarankan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ahli majlis di kawasan masing-masing melaksanakan aktiviti gotong-royong dalam menangani isu denggi di negeri ini.

Katanya, walaupun kerajaan negeri melalui usahasama agensi berkaitan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (Japerun) turut diarahkan memantau perkembangan wabak itu, namun usaha perlu dilakukan bersama-sama.

“Melibatkan tangki persendirian yang menyumbang kepada wabak berkenaan, langkah telah diambil diperingkat Japerun dan sebahagiannya kita nasihat dan membelikan penutup tangki, tetapi bukan keseluruhan.

“Dalam masa sama, ia perlu disusuli dengan aktiviti gotong-royong antara ahli majlis dan MPKK,” jelasnya.

November lalu, Menteri Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penggunaan dron akan digunakan menerusi pelaburan dan penambahan bajet dalam Belanjawan 2019.

“Walaupun harganya yang mahal mencecah kira-kira RM20,000 seunit, ia adalah pelaburan yang baik dan sangat munasabah menjadi aset kepada Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

CATEGORIES