Melaka pertimbang cadangan elak pemilik baharu tertekan

Sebelum jual rumah, selesaikan dahulu bil lama bagi permudah urusan penjualan

Melaka pertimbang cadangan elak pemilik baharu tertekan

BANDARAYA MELAKA 16 April – Pemilik unit rumah strata perlu melunaskan terdahulu bil-bil tertunggak termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan kediaman sebelum menjualnya kepada pemilik baharu.

Itu antara cadangan diterima Ketua Menteri, Adly Zahari pada program Hari Bertemu Rakyat Perdana di Dewan Hang bagi menyelesaikan isu membabitkan pemilik yang enggan menjelaskan bil lama setelah pembayaran cukai melibatkan unit strata tidak lagi dibuat secara kelompok.

Adly berkata, cadangan yang diterimanya itu akan dipertimbangkan untuk dijadikan dasar kerajaan negeri.

Katanya, pembayaran cukai yang dilakukan secara individu turut memberi kesan terhadap pihak pengurusan untuk melakukan penyelenggaraan yang dianggarkan menurun sehingga 50 peratus.

“Ada cadangan penambahbaikan dan rasa ia agak baik, sebagai contoh melibatkan pengurusan kediaman pangsapuri.

“Di peringkat kerajaan kita laksanakan cukai strata dan pembayarannya tidak lagi dibuat secara berkelompok dan menyukarkan jawatankuasa pangsapuri melaksanakan tugas.

“Jadi antara cadangan itu antaranya pastikan bahawa sebelum unit kediaman itu bertukar milik, pemilik asal perlu mendapatkan kelulusan dari pihak pengurusan.

“Supaya masalah melibatkan bil tertunggak ini dapat diselesaikan dan tidak menekan pemilik baharu, ini antara cadangan baik saya fikir boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada program Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri Kedua 2019 di Dewan Hang Tuah, di sini baru-baru ini.

CATEGORIES
TAGS